Umat Islam harus berpandangan jauh
dan melihat masa depan serta lebih ke hadapan
PERANCANGAN penting bagi semua manusia yang hidup di muka bumi namun, ada juga yang menganggap perancangan sebagai ilmu baru yang tidak pernah wujud sebelum zaman ini. Agak keterlaluan apabila ada pendapat yang mengatakan dalam kehidupan umat Islam tidak ada soal yang memerlukan kepada perancangan dan hal ini sedikit sebanyak menjadi faktor penyebab kemunduran umat Islam. Sebenarnya mereka bagaikan ingin umat Islam menolak sama sekali prinsip perancangan, asalkan bekerja dan membuat sesuatu tanpa berfikir. Akibatnya umat Islam akan terus berada dalam keadaan lemah, tidak berdaya dan hidup tidak tenteram. Anggapan dan pandangan sedemikian adalah tidak benar kerana al-Quran sejak berabad menggalakkan umat manusia bekerja menurut perancangan. Contohnya, al-Quran menceritakan ketika utusan Raja Mesir datang kepada Nabi Yusuf di dalam penjara meminta beliau mentakwilkan mimpi, ia berkata,
“Yusuf, wahai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami (mimpi) tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus; dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering (terangkanlah takwil mimpi itu) agar aku kembali kepada orang-orang (yang mengutus itu), semoga mereka akan mengetahuinya.” (Surah Yusuf, ayat 46)
Berdepan dengan tugas itu, Nabi Yusuf ternyata tidak hanya mentakwilkan mimpi saja, bahkan baginda memberi petunjuk supaya membuat perancangan untuk mengatasi kesukaran dan bahaya kelaparan yang diramalkan akan menimpa Mesir. Baginda mencadangkan beberapa langkah positif yang perlu diambil bagi menghadapi kesukaran itu. Al-Sayyid Qutb dalam kitabnya 'Tafsir Fi Zilal al-Quran mengatakan, Raja (Mesir) itu meminta huraian erti mimpinya tetapi pegawai kerajaan dan ahli nujum tidak sanggup menghuraikan erti mimpi itu kerana menganggap ia petanda akan berlaku kejadian buruk. Sebaliknya, untuk menunaikan kehendak raja, mereka memperlihatkan apa saja yang dapat menyenangkan raja dan menyembunyikan sesuatu yang menyedihkan. Untuk itu, mereka menghindari dari berbincang mengenai mimpi itu dengan mengatakan mimpi itu kosong dan tidak mempunyai apa-apa erti.
Sikap Nabi Yusuf berlainan, baginda mentakwilkan mimpi raja dan menasihatkannya supaya berusaha mengatasi akibat yang ditunjukkan dalam mimpi itu dengan mencadangkan langkah yang sesuai. Langkah-langkah yang perlu dirancangkan ialah pertama, perlu menggiatkan lagi pekerjaan yang sedang dilakukan serta menetapkan jangka waktu diperlukan. Kedua, perlu bersungguh-sungguh melakukan kegiatan pertanian dalam jangka masa tertentu, ketiga ialah berusaha meningkatkan pengeluaran dan keempat, perlu bekerja keras secara terus menerus serta bersungguh-sungguh. Berdasarkan cadangan itu, jelas menampakkan betapa pentingnya cara penyimpanan yang baik untuk menjaga keutuhan hasil bumi dan kepentingan menyimpan, cara hidup berekonomi, tidak boros dan tidak berlebih-lebihan. Ini kerana Islam adalah agama yang mementingkan prinsip keseimbangan, menolak sifat bakhil dan mengharamkan pembaziran atau menggunakan harta untuk hal-hal yang tidak bermanfaat. Dalam perancangan mengatasi kesulitan yang ditunjukkan Nabi Yusuf itu, terdapat dua perkara perlu diberi perhatian iaitu berhati-hati dalam membelanjakan harta dan tidak melakukan pembaziran. Perbelanjaan ditentukan kepada keperluan utama seperti dikatakan Nabi Yusuf, “Kecuali sedikit untuk kamu makan.” (Surah Yusuf, ayat 47)
Baginda juga memberi petunjuk mengenai keharusan menggunakan harta simpanan dengan cara sebaik-baiknya, terutama pada masa kesulitan. Hasil pemikiran dan perancangan Nabi Yusuf yang berdasarkan petunjuk Allah SWT kepadanya, maka umatnya terhindar daripada bencana kelaparan dan dapat mengatasi satu malapetaka besar. Demikianlah ilmu perancangan yang tercatat di dalam al-Quran untuk kepentingan umat manusia umumnya dan kesejahteraan umat Islam khususnya. Oleh itu, jelaslah bahawa Islam bukan agama yang mengajar orang berfikir secara membuta tuli atau bertawakal tanpa alasan (bukan bertawakal dalam erti kata sebenar).
Islam adalah agama yang mengajar manusia supaya memerhatikan dan mempelajari dengan teliti terutama perkara berkaitan soal pengeluaran, penggunaan dan keperluan material lain dalam kehidupan. Perlu ditegaskan, sesuatu pekerjaan atau projek, sama ada besar ataupun kecil tidak akan berjaya dilaksanakan dan tidak akan terjamin pencapaiannya jika dilakukan tanpa perancangan rapi. Semua undang-undang Islam sama ada yang bersifat ibadat mahupun muamalat, masing-masing mempunyai dasar dan kaedah serta mempunyai maksud serta tujuan yang hendak dipraktikkan dalam kehidupan. Rasulullah SAW dalam segala hal amat mementingkan perancangan. Misalnya, sebaik saja tiba di Madinah, Baginda segera meletakkan dasar bagi membentuk pemerintahan Islam pertama di dunia. Baginda membangunkan masjid sebagai tempat ibadat, bermesyuarat, mempersaudara kaum Muhajirin dan Ansar khususnya dan untuk memperkukuh persaudaraan semua umat Islam pada umumnya.
Selepas itu Baginda mengadakan perjanjian dengan golongan Yahudi, meletakkan dasar perundangan Kota Madinah supaya setiap orang dapat mengetahui kedudukan dalam masyarakat serta mengetahui apa yang menjadi hak dan kewajipannya. Samalah juga apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAw pada malam hijrah, malam Aqabah dan peristiwa yang berlaku di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Semua ini membuktikan Islam amat mementingkan perancangan yang teratur dan kemas. Oleh itu, jelaslah suara yang mengatakan Islam tidak mementingkan perancangan sama sekali berlawanan dengan gesaan al-Quran dan tindakan yang dilakukan Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment