Wednesday, February 26, 2014

Majid mulakan misi jalan kaki

KUALA LIPIS 1 Jan. - Seorang pengawal keselamatan, Abdul Majid Abdul Hamid, 57, memulakan misi berjalanan kaki selama dua minggu bermula di bandar ini sehingga ke Stadium Darul Makmur, Kuantan hari ini.

Pelepasan misi pengawal keselamatan itu dilakukan oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad di pekarangan Wisma UMNO Bahagian Lipis pukul 10 pagi.

Menurut Abdul Majid, hasrat itu dilakukan sebagai sokongan kepada Skuad Pahang yang akan menentang pasukan Lion XII dalam perlawanan Piala Sumbangsih di stadium tersebut pada 17 Januari ini.

"Saya akan berjalan kaki selama 17 hari dan akan singgah bermalam di Benta, Raub, Bentong, Temerloh, Maran sebelum tiba di bandar Kuantan melibatkan jarak keseluruhan sejauh 380 kilometer.

"Kali ini, saya meminta lebih ramai peminat Pahang dan belia di semua daerah untuk turut serta berjalan kaki bersama saya sehingga termakbul cita-cita iaitu tiba di bandar Kuantan," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, hasrat kali kedua itu dilakukan kerana memberi perangsang kepada pemain serta peminat sukan bola sepak negeri ini untuk memastikan Pahang memenangi piala tersebut.

Katanya, kejayaan menempuh pelbagai dugaan ketika berjalan kaki dari Kuantan ke Stadium Shah Alam, Selangor pada November lalu memberi banyak pengalaman sekali gus menyuntik hasratnya untuk melakukannya buat kali kedua.

"Pembabitan ramai belia berjalan kaki bersama saya bukan sahaja untuk meraikan skuad Tok Gajah, malah menyahut aspirasi Program Malaysia Cergas yang menitikberatkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk di negeri ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140102/dn_17/Majid-mulakan-misi-jalan-kaki#ixzz2uVEOrOcx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment