ADAKAH KITA YAKIN KITA HIDUP SAMPAI ESOK ?
Dari Penulis;
Apabila anda berada di pagi hari, janganlah menunggu waktu petang, kerana hari ini adalah kesempatan untuk hidup. Oleh kerana itu, anda tidak perlu memikirkan hari kelmarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan dan keburukan yang menghiasinya. Tidak juga dengan hari esok yang belum tentu datang.
Hari yang saat ini mataharinya menyinari anda, dan siangnya menyapa anda, membuat anda mampu memandang alam sekitar. Itulah hari anda, maka manfaatkan hari itu sebaik-baiknya! Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seakan-akan anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga.
Falsafah ini akan menyelamatkan kehidupan anda, sehingga tidak tersepit di antara dua kehidupan, masa lalu dengan pelbagai kesedihan dan kegundahan yang terjadi masa itu, dan masa depan yang penuh ketidakpastian dan seringkali menakutkan.
Pusatkanlah seluruh perhatian dan kreativiti anda untuk satu hari sahaja. Dan pada hari inilah anda harus bertekad mempersembahkan kualiti solat anda yang paling khusyu', membaca dan memahami Al-Quran secara mendalam, merenungi kehidupan dunia dengan sepenuh hati, keseimbangan dalam segala hal, keindahan dalam akhlak, perhatikan terhadap keadaan sekitar, perhatian terhadap kesihatan jiwa dan raga serta memberi manfaat kepada orang lain.
Untuk hari ini, anda harus mulai membahagi waktu dengan bijak. Jadikanlah setiap minit seakan ribuan tahun dan setiap detik seakan ratusan tahun; tanamlah kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari itu; memelihara indahnya kehidupan, meminta ampunan dari pelbagai dosa yang telah dilakukan, mengingati Tuhan dam mempersiapkan diri untuk pergi jauh (mengharapNya). Dengan demikian hidup anda pada hari ini akan penuh kebahagiaan, merasa aman dan tenteram serta menerima rezeki isteri, suami, anak-anak, adik-beradik, ibu bapa, tugas-tugas dan ilmu pengetahuan dengan tangan terbuka dan rasa syukur.
" Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur. (Al-'Araf : 144) "
Hidup anda pada hari ini juga tanpa kesedihan, gangguan, kemarahan, kedengkian, pengkhianatan, kebencian atau sakit hati. Jangan lupa hendaklah anda mengukir sebuah tulisan dalam hati anda atau di meja tempat anda bekerja atau belajar. 'Hari ini adalah milikmu'. Yakni, apabila hari ini anda dapat memakan nasi yang harum baunya, maka apakah anda masih terfikir tentang nasi basi yang telah anda makan kelmarin yang akan membahayakan kesihatan anda? Mungkin anda masih berfikir tentang nasi tersebut dan masih ada dalam angan-angan.
Seandainya anda percaya akan diri sendiri dan mampu mengerjakan segala sesuatu dengan semangat dan tekad yang kuat, anda akan dapat menundukkan diri anda untuk berpegang pada prinsip; "Masa hidupku hanyalah pada hari ini". Prinsip inilah yang akan menyibukkan diri anda setiap detik untuk selalu memperbaiki keadaan, sekaligus berusaha meningkatkan mutu kerja dan membersihkan amal perbuatan anda.
Dan itu, akan membuat anda berkata dalam hati:
" Hanya hari ini aku berkesempatan untuk mengatakan yang baik-baik saha; tidak bercakap kotor, tidak pernah mencela, mengherdik, mengejek, menyindir dan juga membicarakan keburukan orang lain. Hanya hari ini aku berkesempatan mengemas rumah dan pejabat agar tidak berserabut. Dan kerana hanya hari ini saja aku akan hidup, maka aku akan memperhatikan kebersihan tubuhku, kesucian jiwaku, kerapian penampilanku, kebaikan tutur kata dan tindak-tandukku "
No comments:
Post a Comment